KUCHING: Polis menahan tiga lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam dua kes jenayah berasingan di sekitar daerah Kuching pada 19 November lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, dua daripada lelaki terbabit, masing-masing berusia 26 dan 30 tahun, ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching kerana disyaki terlibat dalam kes ugutan bunuh menggunakan senapang patah di kawasan Demak Laut.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 22 tahun pula ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Sekama kerana dipercayai terbabit dalam kes mengaibkan kehormatan di kawasan Sekama.
Menurutnya, polis turut merampas beberapa barang kes dalam tangkapan berkaitan kes pertama, manakala sebuah telefon bimbit dirampas bagi membantu siasatan kes kedua.
Semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek dalam kes ugutan bunuh mempunyai lima rekod jenayah lampau, selain saringan awal air kencing mereka didapati positif dadah.
Kesemua tiga suspek telah direman bagi membantu siasatan.
Kes ugutan bunuh disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, manakala kes mengaibkan kehormatan disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kedua-dua kes diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Muhammad Alift Aiman bin Mat Zain menerusi talian 013-3115854 atau Sjn. Dahliawaty binti Ahmad di talian 017-2477118.
Maklumat juga boleh disalurkan melalui Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghargai kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras jenayah dan mengekalkan keselamatan awam.-DRP
