JOHOR BAHRU: Mayat seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan terapung di dalam sebuah parit berhampiran kawasan sekolah di Taman Mount Austin, di sini, kira-kira jam 1.15 petang.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Azrul Hisham bin Mohd Shaffei berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat berkenaan sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati keadaan wajah mayat tidak sempurna, manakala tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan di lokasi kejadian.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal juga tidak menemukan sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian lelaki berkenaan.
Mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru bagi menjalani bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian.
Sehubungan itu, pihak polis sedang berusaha mengenal pasti identiti mangsa dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan atau kehilangan ahli keluarga supaya tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada Ketua Polis Balai Setia Indah menerusi talian 07-351 6422.-DRP
