Editorial
KUALA TERENGGANU: Beberapa kawasan di Terengganu dan Kelantan diramal berisiko mengalami banjir bermula 24 hingga 27 November ini susulan analisis data hidrologi model ramalan banjir oleh Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pihak JPS hari ini, PRABN memaklumkan ramalan itu membabitkan beberapa kawasan dalam lembangan sungai, khususnya lokasi yang dikenal pasti sebagai hotspot banjir, kawasan rendah dan kawasan berisiko banjir.
Di Terengganu, tujuh daerah dikenal pasti berpotensi terjejas iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
Antara lembangan sungai yang terlibat ialah Sungai Besut, Sungai Keluang, Sungai Setiu, Sungai Terengganu, Sungai Ibai, Sungai Marang, Sungai Merchang, Sungai Dungun, Sungai Paka, Sungai Sura, Sungai Kemaman dan Sungai Kemasik.
Sementara itu, di Kelantan, empat jajahan dikenal pasti berisiko mengalami banjir iaitu Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat.
Kawasan berkenaan melibatkan lembangan Sungai Golok yang merangkumi beberapa sungai termasuk Sungai Buloh, Sungai Lanas, Sungai Legeh, Sungai Satan, Sungai Bunut Susu, Sungai Meranti, Sungai Tandak, Sungai Kedotok, Sungai Lanchang, Sungai Tasik Garu, Sungai Danau To’ Uban, Sungai Rengas dan Sungai Lemal.
Turut terlibat ialah Sungai Jegor, Sungai Manal, Sungai Jedok, Sungai Air Bujing, Sungai Pengkalan Nangka, Sungai Mentua, Sungai Gali, Sungai Kelaboran dan Sungai Tapang.
PRABN memaklumkan banjir yang diramalkan berkemungkinan berlaku lebih awal atau lewat daripada tempoh yang dijangkakan.
Sehubungan itu, penduduk khususnya yang tinggal di kawasan hotspot banjir, kawasan rendah dan berhampiran lembangan sungai terbabit dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa dan agensi pengurusan bencana.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini berkaitan situasi banjir menerusi portal rasmi InfoBanjir di https://publicinfobanjir.water.gov.my/ atau aplikasi MyPublicInfoBanjir-DRP
