KUALA LUMPUR, 22 November 2026 – Polis sedang giat mengesan pemandu sebuah kereta BMW X6 berwarna merah yang bertindak memecut meninggalkan lokasi sekatan jalan raya di Jalan Bukit Bintang, awal pagi 20 November lalu.
Menurut hantaran di Facebook Polis Kuala Lumpur, kejadian berlaku kira-kira jam 3.43 pagi ketika sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) sedang menjalankan Sekatan Jalan Raya (SJR) di kawasan berkenaan.
Siasatan awal mendapati pemandu kenderaan terbabit pada mulanya telah memberhentikan keretanya di lokasi sekatan, namun gagal memberikan kerjasama kepada pihak polis sebelum bertindak memecut dan meninggalkan tempat kejadian.
Bagaimanapun, hasil semakan mendapati insiden berkenaan tidak melibatkan sebarang pelanggaran undang-undang trafik atau kemalangan jalan raya.
Polis memaklumkan identiti pemandu berkenaan masih belum dikenal pasti dan usaha mengesan serta mengenal pasti individu terbabit sedang giat dijalankan oleh pasukan JSPT Kuala Lumpur bagi membantu siasatan lanjut.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 21(1) Akta Polis 1967 dan dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat JSPT Kuala Lumpur, Inspektor Mohammad Salehuddin Musa.
Kenyataan media yang dikeluarkan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Supt Suffian Abdullah pada 22 November itu turut menggesa orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – DRP
