KOTA TINGGI: Polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan dipercayai terbabit dalam kes curi beg tangan di sebuah gerai makanan di Medan Selera Sanggar Kota, di sini, pada 16 November lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof bin Hj Othman berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 32 hingga 42 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Sungai Tiram dan Ulu Tiram, Johor, pada 21 November 2026.
Operasi yang dijalankan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi itu bermula kira-kira jam 4.30 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan beberapa barang kes, termasuk sebuah beg tangan berwarna hitam, sebuah rangka kereta yang telah dileraikan serta dua telefon bimbit.
Polis turut menjalankan tindakan lanjut bagi mengesan dan merampas barangan lain yang masih belum ditemukan.
Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai bersama seorang lagi rakan jenayah yang masih bebas telah meleraikan sebuah kereta Proton Wira berwarna biru yang digunakan ketika kejadian.
Kenderaan itu dipercayai dileraikan di kawasan ladang kelapa sawit di Sungai Tiram bagi tujuan melupuskannya.
Semakan rekod mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah dan narkotik lampau. Ujian saringan awal air kencing pula mendapati seorang daripada mereka positif methamphetamine, manakala dua lagi negatif.
Polis juga mendapati seorang daripada suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan satu lagi kes curi di daerah Johor Bahru yang masih dalam siasatan.
Usaha mengesan seorang lagi rakan jenayah yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu sedang giat dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Yusof berkata, Polis Daerah Kota Tinggi akan terus mempergiat usaha membanteras jenayah harta benda dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan jenayah.-DRP
