Editorial
MANJUNG: Sebanyak 66 saman dan notis dikeluarkan, manakala dua motosikal disita dalam Op Khas Bersepadu membanteras kegiatan samseng jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Manjung.
Operasi yang berlangsung dari jam 12 tengah malam hingga 5 pagi itu melibatkan Jalan Sitiawan-Lumut serta beberapa lokasi sekitar daerah Manjung.
Seramai 23 anggota penguat kuasa terlibat, terdiri daripada seorang pegawai kanan polis, lima pegawai rendah polis, dua pegawai JPJ dan 15 anggota JPJ.
Hasil pemeriksaan, sebanyak 22 saman polis dan 44 notis JPJ dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, selain dua buah motosikal disita hasil tindakan penguatkuasaan berkenaan.
IPD Manjung memaklumkan operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan samseng jalanan, sekali gus memastikan keselamatan dan ketenteraman pengguna jalan raya di daerah berkenaan.
Orang ramai, khususnya golongan muda, turut diseru supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta mengamalkan pemanduan berhemah demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.-DRP
