SUBANG: Sebuah helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) jenis AW139 digunakan bagi mempercepatkan penghantaran organ pendermaan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada Isnin.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, misi penerbangan Medical Evacuation (MEDEVAC) itu dilaksanakan menggunakan helikopter bernombor pendaftaran 9M-BOC dari Pangkalan Udara Wilayah Utara, Bertam.
Pesawat berkenaan membawa organ pendermaan dari HSA ke MIAT, Subang sebelum penghantaran seterusnya ke IJN menggunakan ambulans.
Helikopter yang tiba di HSA pada jam 9.22 pagi itu berlepas pada jam 10 pagi dan selamat mendarat di MIAT, Subang pada jam 11.45 pagi.
Penerbangan berkenaan diketuai PPjB Sofian bin Ahmed, dibantu PgB Zulkhaire Zabidi serta dua anak kapal. Misi itu turut disertai empat pegawai dan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut makluman Pusat Transplan Kebangsaan, pendermaan organ itu mendapat persetujuan keluarga seorang pesakit yang disahkan mengalami kematian otak (brain death).
Organ yang didermakan merangkumi jantung, paru-paru dan hati, sekali gus memberi peluang kepada pesakit yang sedang menunggu pemindahan organ.
Pengangkutan pantas amat penting bagi memastikan organ berkenaan kekal dalam keadaan optimum sebelum prosedur pemindahan dilakukan.
JBPM memaklumkan, sepanjang tahun 2026, pesawat agensi itu sudah melaksanakan empat penerbangan pemindahan organ dengan jumlah keseluruhan 14.1 jam penerbangan, melibatkan laluan dari Kelantan, Terengganu dan Johor.
Kerjasama penggunaan helikopter bagi misi pemindahan organ antara JBPM dan KKM dilaksanakan menerusi Nota Kerjasama yang ditandatangani pada 2023.
Selain itu, JBPM turut menganggotai Majlis Transplan Kebangsaan yang dipengerusikan Menteri Kesihatan Malaysia dan berperanan sebagai penyedia perkhidmatan udara utama bagi menyokong operasi pemindahan organ di negara ini.
Penglibatan itu memperlihatkan peranan JBPM yang bukan sahaja tertumpu kepada operasi kebombaan dan penyelamatan, malah turut menyokong perkhidmatan kesihatan negara melalui misi kemanusiaan.
Keupayaan mobiliti udara berkenaan membantu memendekkan masa perjalanan, meningkatkan kecekapan logistik serta menyokong usaha menyelamatkan nyawa melalui kerjasama antara agensi.-DRP
