JELI: Tiga lelaki warga Bangladesh ditahan selepas ditemukan menaiki sebuah lori Fuso yang diperiksa polis di Sekatan Jalan Raya Batu 6, Batu Melintang, di sini, pada 21 November lalu.
Pemeriksaan kira-kira jam 11.30 malam itu turut membawa kepada penahanan pemandu lori berkenaan, seorang lelaki warga tempatan yang didapati positif dadah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jeli, DSP Mohd Shamsuri bin Mohd Zain berkata, pemeriksaan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli ketika menjalankan tugas Snap Check.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga penumpang lelaki warga Bangladesh itu memiliki Pas Lawatan yang telah tamat tempoh.
Siasatan awal mendapati pemandu berkenaan dipercayai membawa ketiga-tiga lelaki terbabit dari Terengganu menuju ke Perak.
Polis turut merampas sebuah botol berisi cecair disyaki air ketum yang ditemukan di dalam lori berkenaan.
Ketiga-tiga penumpang itu mengakui sudah tinggal di Malaysia melebihi tiga tahun dan melakukan pelbagai pekerjaan buruh.
Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan lanjut, manakala permohonan reman terhadap pemandu lori akan dibuat di Mahkamah Majistret Jeli selama empat hari.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Mohd Shamsuri berkata, polis memandang serius sebarang kegiatan melibatkan perlindungan atau penyalahgunaan kenderaan bagi membawa dan memindahkan warga asing yang tidak mematuhi undang-undang imigresen.
Katanya, tindakan penguatkuasaan serta pemeriksaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras kegiatan seumpama itu dan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di daerah Jeli sentiasa terpelihara.-DRP
