SIBU: Mayat seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan di kawasan semak berhampiran bekas tapak pengumpulan besi buruk di Jalan Bukit Lima, di sini, pada Ahad.
Penemuan itu dilaporkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu kira-kira jam 6.57 petang, 22 November 2026.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin bin Abang Ahmad berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat berkenaan sebelum menemukan seorang lelaki dalam keadaan sudah meninggal dunia.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati keadaan mayat memerlukan penelitian lanjut bagi mengenal pasti identiti mangsa serta menentukan punca sebenar kematian.
Mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sibu untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan, manakala polis sedang berusaha mengenal pasti identiti lelaki berkenaan serta mengesan warisnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kehilangan ahli keluarga yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan mayat itu diminta menghubungi IO SI Donny anak Lai di talian 013-8335571 atau Balai Polis Ulu Lanang menerusi talian 084-211221.
Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada IPD Sibu bagi membantu siasatan.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut.-DRP
