KOTA KINABALU: Sebuah tangki simpanan minyak diesel, berhampiran Imago Shopping Mall, Jalan Coastal, di sini, terbakar dalam kejadian pagi tadi.
Kebakaran yang dilaporkan pada jam 10.24 pagi, 23 November itu menyebabkan kira-kira 20 peratus bahagian tangki berkenaan musnah.
Pemangku Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, PKPgB Mohammad Hannis bin Mokhtar berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian sebelum jentera tiba di lokasi pada jam 10.28 pagi, kira-kira empat minit selepas panggilan kecemasan diterima.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos sepanjang 100 kaki dengan dua pancutan buih pemadam api (foam).
Bekalan air bagi operasi berkenaan diperoleh daripada tangki jentera bomba dan jentera tangki air.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.45 pagi dan tidak merebak ke kawasan sekitar.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya.
Operasi turut mendapat bantuan lima anggota dari BBP Putatan, menjadikan keseluruhan kekuatan anggota bomba yang terlibat seramai 12 orang, selain dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pegawai Forensik Zon Kota Kinabalu turut dimaklumkan mengenai kejadian itu untuk tindakan lanjut.
Selepas pemeriksaan akhir dijalankan bagi memastikan tiada lagi bahaya atau risiko di lokasi, operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.45 pagi.-DRP
