SHAH ALAM: Pemilikan kereta mewah bukan alasan untuk mengabaikan peraturan jalan raya apabila dua kenderaan jenis Bentley dan Porsche disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor kerana tidak mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta perlindungan insurans yang sah.
Kedua-dua kenderaan itu dikesan dalam Operasi (Op) Luxury yang dijalankan JPJ Selangor di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Cyberjaya.
Menurut hantaran di Facebook rasmi JPJ Selangor, kedua-dua kereta berkenaan ditahan untuk pemeriksaan sebelum disita dan dibawa ke JPJ Padang Jawa bagi tindakan lanjut.
Operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JPJ memastikan semua pengguna jalan raya, termasuk pemilik kenderaan mewah, mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.
JPJ Selangor turut menegaskan komitmennya untuk memberi perhatian terhadap aduan orang awam selain meneruskan pemantauan bagi mengesan sebarang pelanggaran peraturan lalu lintas.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan kesalahan lalu lintas boleh menyalurkannya menerusi e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau aplikasi e-Aduan dengan menyertakan butiran pengadu serta maklumat lengkap aduan.-DRP
