TANGKAK: Tiga penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Serena maut dalam kemalangan di Kilometer 159.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan.
Mangsa yang terkorban terdiri daripada seorang wanita berusia 49 tahun yang duduk di bahagian hadapan, serta dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia 14 tahun dan dua tahun yang berada di bahagian belakang kenderaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, DSP Jamellulkamal bin Abdul Halim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan membabitkan MPV terbabit.
Menurutnya, pemandu kenderaan bersama dua lagi penumpang mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu serta mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurhisyam Syafiq bin Mat Lopa menerusi talian 013-9825324 bagi membantu siasatan.-DRP
