GEORGE TOWN: Sebanyak 13 motosikal disita manakala 109 saman dikeluarkan dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di kawasan Pulau Andaman, Gurney Drive, Pulau Pinang.
Menurut hantaran di Facebook rasmi IPD Timur Laut, operasi berkenaan turut menyaksikan pemeriksaan terhadap 115 motosikal dan 18 motokar bagi mengesan pelbagai kesalahan lalu lintas.
Daripada pemeriksaan itu, sebanyak 109 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala 13 motosikal disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Operasi berkenaan dilaksanakan bagi membanteras kegiatan lumba haram serta kesalahan pengubahsuaian kenderaan yang menghasilkan bunyi bising sehingga mengganggu ketenteraman awam.
Selain itu, penguatkuasaan berkenaan turut memberi tumpuan kepada peningkatan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang dan peraturan lalu lintas.
Usaha itu juga bertujuan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya, khususnya kemalangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa.-DRP
