PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan dua produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual serta bahan larangan.
Menurut kenyataan KKM, menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), produk terbabit ialah Toporin – Hydra Sensitive Cream yang mengandungi miconazole dan Wan Fu Shuang Lotion yang dikesan mengandungi imazalil.
Kedua-dua produk berkenaan tidak dibenarkan untuk dijual di Malaysia berikutan kandungan bahan yang dikesan.
KKM menjelaskan miconazole merupakan racun berjadual yang tidak dibenarkan digunakan dalam kosmetik di negara ini. Produk yang mengandungi bahan berkenaan diklasifikasikan sebagai ubat dan perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum boleh dipasarkan.
Ubat mengandungi miconazole hanya boleh digunakan atas nasihat serta pemantauan ahli profesional kesihatan kerana penggunaan tanpa pengawasan sewajarnya boleh meningkatkan risiko kerintangan antimikrob, sekali gus mengurangkan keberkesanan rawatan jangkitan pada masa hadapan.
Sementara itu, imazalil atau turut dikenali sebagai enilconazole merupakan bahan larangan yang tidak dibenarkan sama sekali dalam formulasi kosmetik.
Pendedahan kepada bahan aktif racun kulat itu boleh menyebabkan kerengsaan mata yang serius, manakala pendedahan berulang atau berpanjangan berpotensi menjejaskan fungsi hati.
Sehubungan itu, KKM mengarahkan semua penjual dan pengedar supaya menghentikan serta-merta penjualan serta pengedaran kedua-dua produk kosmetik berkenaan.
Kementerian turut mengingatkan bahawa penjualan dan pengedaran kosmetik tidak bernotifikasi melanggar Peraturan 18A(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952.
Individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan berikutnya, hukuman boleh melibatkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.
Orang awam yang sedang menggunakan produk berkenaan dinasihatkan supaya segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan sekiranya mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
Pengguna juga digalakkan menyemak status notifikasi kosmetik serta senarai produk yang dibatalkan menerusi laman sesawang rasmi NPRA di www.npra.gov.my. -DRP
