KOTA TINGGI: Seorang wanita berusia 68 tahun maut selepas kereta Perodua Axia dinaiki bersama seorang lelaki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Lok Heng-Mawai, petang tadi.
Mangsa yang merupakan penumpang hadapan kenderaan itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof bin Hj Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.56 petang.
Menurutnya, kemalangan berkenaan membabitkan sebuah Perodua Axia yang dipandu lelaki warga tempatan berusia 25 tahun bersama mangsa.
Pemandu kenderaan itu turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan serta masih menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi menjalani prosedur siasatan.
Beliau berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000. Pesalah juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka, mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya demi memastikan keselamatan semua pengguna.-DRP
