PASIR PUTEH: Aktiviti disyaki penyeludupan 120,000 batang rokok putih bernilai kira-kira RM96,000 dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan dalam operasi di sekitar perairan Kuala Besar pada 20 November lalu.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal bin Mohamad berkata, kegiatan itu terbongkar selepas bot peronda agensi berkenaan mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan bergelap dan mencurigakan kira-kira jam 7.50 malam.
Bot berkenaan dipercayai memasuki perairan negara dari negara jiran sebelum dikejar oleh bot peronda Maritim Malaysia dari kawasan Kuala Besar hingga ke Kuala Pak Amat.
Bagaimanapun, bot pancung itu berjaya melepaskan diri dengan menyusuri laluan sungai yang sempit dan cetek.
Susulan kejadian itu, pasukan operasi darat Maritim Malaysia digerakkan untuk melakukan pengesanan di sekitar Sungai Raja Gali.
Kira-kira jam 9.40 malam, pasukan berkenaan mengesan satu lagi aktiviti mencurigakan di tebing sungai Kampung Madat, Kota Bharu.
Kehadiran anggota penguat kuasa menyebabkan dua kenderaan, masing-masing sebuah pacuan empat roda dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), bertindak melarikan diri sebelum bot pancung turut meninggalkan kawasan tebing sungai berkenaan.
Walaupun bot dan kedua-dua kenderaan terbabit berjaya meloloskan diri, Maritim Malaysia akan terus mempergiat usaha risikan, rondaan serta operasi penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
Orang ramai khususnya komuniti maritim turut diseru supaya menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan di laut atau kawasan pesisir pantai kepada pihak berkuasa.
Maklumat boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan menerusi talian 09-778 0070 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan lanjut.-DRP
