HULU TERENGGANU: Seorang guru lelaki berusia 48 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Kuala Telemong, di sini.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin bin Abdul Wahab berkata, suspek ditahan pada 21 November lalu kira-kira jam 3 petang bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Menurutnya, permohonan reman terhadap suspek telah dibenarkan selama tujuh hari sehingga 28 November 2026.
Beliau berkata, pihak polis sebelum itu menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada 19 November 2026 kira-kira jam 11.30 pagi.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dicabul oleh seorang lelaki Melayu yang merupakan gurunya ketika menghadiri program anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di sebuah premis penginapan kursus di Kuala Telemong.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, iaitu kesalahan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak.
Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.
Sehubungan itu, Sharudin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih menerusi media sosial yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan hak dan kebajikan mangsa.-DRP
