KULAI: Hasrat seorang lelaki warga Pakistan membantu pengguna jalan raya yang mengalami kerosakan kenderaan berakhir dengan tragedi apabila dia maut dirempuh lori dalam kemalangan di Kilometer 33.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, awal pagi tadi.
Mangsa berusia 41 tahun yang juga pemandu Naza Citra itu mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 5 pagi sebelum anggota polis dikejarkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu Perodua Myvi, Naza Citra, lori jenis Luton dan Toyota Alphard.
Kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi mengalami kerosakan lalu berhenti di lorong kiri lebuh raya berkenaan.
Sebuah Naza Citra yang berada di belakang kemudian turut berhenti di hadapan Myvi itu bagi membantu pemandunya.
Bagaimanapun, ketika pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan berada di luar kenderaan, sebuah lori Luton yang datang dari arah sama dipercayai gagal mengelak sebelum merempuh bahagian belakang Myvi dan melanggar mangsa.
Dalam kejadian sama, sebuah Toyota Alphard yang melalui lorong kanan turut terbabit selepas dipercayai melanggar cermin sisi lori berkenaan.
Selain mangsa yang maut, dua lagi lelaki warga Pakistan iaitu pemandu Myvi dan penumpang Naza Citra mengalami kecederaan.
Pemandu lori dan Toyota Alphard pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori dan mendapati keputusan negatif daripada sebarang bahan terlarang.
Semua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ruslan Mohamed menerusi talian 013-3063710 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai bagi membantu siasatan.-DRP
