KOTA KINABALU, 24 November – Seramai 20 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah menerima kenaikan pangkat kepada Deputi Superintendan Polis (DSP) dalam satu majlis pemakaian pangkat yang disempurnakan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Victor B. Sanjos, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, kelmarin.
Majlis berkenaan berlangsung sebelum Mesyuarat Mingguan Pesuruhjaya Polis Sabah yang dipengerusikan Victor di Bilik Mesyuarat Akinabalu, IPK Sabah, pada pagi 23 November 2026. Mesyuarat itu turut disusuli dengan pelaksanaan nyanyian lagu Negaraku dan bacaan Ikrar Rukun Negara.
Amalan tersebut dilaksanakan selaras dengan e-Siar KPN 10 bertarikh 27 September 2024 sebagai usaha menyemai semangat perpaduan serta memperkukuh nilai patriotisme dalam kalangan penjawat awam.
Dalam ucapannya, Victor menyampaikan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua pegawai kanan polis yang menerima kenaikan pangkat berkenaan.
Beliau turut mengingatkan agar pengiktirafan yang diterima menjadi dorongan untuk meningkatkan komitmen, integriti serta keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan demi memastikan kecemerlangan pasukan PDRM terus dipertahankan.
Turut hadir Ketua Jabatan Pengurusan Sabah, SAC Datuk Ahsmon Bajah, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sabah, SAC Lim San Aik, ketua-ketua jabatan dan formasi serta wakil masing-masing.
Mesyuarat itu turut disertai ketua-ketua polis daerah menerusi telesidang selain pegawai kanan polis yang terlibat dalam majlis pemakaian pangkat berkenaan. – DRP
