QUEZON, FILIPINA: Seorang pegawai barangay berusia 51 tahun ditahan selepas pihak polis menemukan empat senjata api tidak berlesen dalam operasi penguatkuasaan di Barangay Ingas, Infanta, Quezon, Filipina.
Operasi yang dijalankan Kumpulan Siasatan dan Pengesanan Jenayah (CIDG) bersama Batalion Pasukan Bergerak Wilayah 4A serta Balai Polis Perbandaran Infanta itu dilaksanakan menerusi waran geledah.
Ketua Polis Negara Filipina, Police General Jose Melencio C. Nartatez Jr. berkata, operasi berkenaan mencerminkan usaha berterusan pihak polis memastikan pemilikan dan penyimpanan senjata api mematuhi undang-undang tanpa mengira kedudukan atau jawatan seseorang.
Antara senjata yang ditemukan ialah sepucuk raifal berkaliber 5.56mm, sebuah submesingan, sepucuk karbin berkaliber .30 dan sepucuk pistol 9mm.
Pihak polis turut merampas beberapa alat penyenyap, pelbagai jenis kelopak senjata serta peluru.
Hasil pemeriksaan awal mendapati kesemua senjata api berkenaan tidak berdaftar dengan Pejabat Senjata Api dan Bahan Letupan Polis Negara Filipina (PNP).
Individu yang ditahan juga didapati tidak memiliki Lesen Pemilikan dan Penguasaan Senjata Api (LTOPF).
Tindakan undang-undang selanjutnya akan diambil terhadap individu terbabit dengan mengambil kira haknya sepanjang proses perundangan.
Nartatez berkata, operasi itu menegaskan kepentingan akauntabiliti dalam kalangan masyarakat, termasuk penjawat awam, bagi memastikan keselamatan komuniti sentiasa terpelihara.
Beliau turut menekankan bahawa pemilikan senjata api perlu disertakan dokumentasi dan lesen yang sah bagi mengelakkan penyalahgunaannya sehingga mengancam keselamatan orang ramai.
Operasi itu selaras dengan Agenda Fokus PNP, khususnya aspek Pengurusan Operasi Polis yang Dipertingkatkan, yang menekankan tindakan berasaskan risikan, penyelarasan operasi dan penguatkuasaan yang bertanggungjawab.
PNP turut memuji kerjasama CIDG dan unit-unit terlibat dalam operasi berkenaan serta menegaskan komitmen untuk meneruskan usaha membanteras pemilikan senjata api secara tidak sah demi melindungi keselamatan masyarakat.-DRP
