BATU PAHAT: Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun cedera selepas terjatuh dari tingkat dua sebuah sekolah menengah di daerah ini ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang berlangsung, tengah hari tadi.
Kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 12.15 tengah hari itu disedari pihak sekolah sebelum mangsa yang juga pelajar Tingkatan Lima didapati mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan mulut.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihak polis setakat ini belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa mahupun ahli keluarganya.
Menurut beliau, siasatan masih dijalankan bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai insiden berkenaan.
Setakat ini, polis tidak mengesan sebarang unsur jenayah dan kejadian tersebut juga tidak melibatkan mana-mana pihak lain.
Dalam pada itu, orang ramai diminta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian berkenaan.-DRP
