TUMPAT: Cubaan seorang lelaki tempatan melarikan diri daripada pemeriksaan polis berakhir apabila kenderaan dipandunya terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelum dia ditahan bersama lapan pendatang tanpa izin (PATI) warga Myanmar di Neting, Pengkalan Kubor, di sini, pada 22 November lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, sepasukan anggota Task Force Batalion 7, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan yang sedang menjalankan rondaan mengesan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kuning dalam keadaan mencurigakan.
Pemandu kenderaan berusia 34 tahun itu dipercayai cuba melarikan diri sebelum kereta berkenaan terbabas dan melanggar penghadang jalan.
Pemeriksaan lanjut mendapati lapan warga Myanmar berada di dalam kenderaan berkenaan, terdiri daripada tiga lelaki dan lima perempuan berusia antara 18 hingga 31 tahun, termasuk seorang bayi berusia sembilan bulan.
Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah ketika pemeriksaan dilakukan.
Ketua Polis Daerah Tumpat, ACP Mohd Khairi bin Shafie berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengesan individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat menerusi talian 09-7252482 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.-DRP
