SUNGAI BULOH: Seorang bayi lelaki berusia kira-kira lima bulan mengalami kecederaan pada bahagian muka selepas diserang seekor monyet liar ketika sedang tidur di dalam buaian di rumahnya di Kampung Paya Jaras Tengah, di sini, pada 22 November lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz bin Muhammad Nor berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.18 malam ketika ibu mangsa berada di dapur, manakala bayi berkenaan sedang tidur di ruang tamu.
Menurutnya, ibu mangsa terdengar jeritan sebelum menyedari seekor monyet berada berhampiran bayinya.
Haiwan itu dipercayai memasuki kediaman berkenaan melalui tingkap yang terbuka sebelum melarikan diri menggunakan laluan sama.
Mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian muka kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.44 malam, 22 November 2026.
Laporan polis berkenaan diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (ROA) kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia untuk tindakan lanjut.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan aspek keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, SM Azmir Azrie zal bin Ramli menerusi talian 019-5665870 atau Bilik Gerakan IPD Sungai Buloh di talian 03-61561222.-DRP
