SIMUNJAN: Perjalanan tiga individu yang menaiki sebuah motosikal berakhir dengan tragedi apabila dua kanak-kanak maut, manakala seorang wanita dewasa cedera selepas dirempuh lori di Jalan Batang Lupar-Sadong, berhampiran Masjid Kampung Sungai Ladong, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.35 pagi itu, seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan digilis lori berkenaan, sementara seorang kanak-kanak perempuan tercampak ke atas jalan raya selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh dari arah belakang.
Kedua-dua kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Seorang lagi mangsa, wanita dewasa, mengalami kecederaan termasuk patah tulang paha dan diberikan bantuan awal sebelum dibawa ke Hospital Simunjan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 11.35 pagi sebelum tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan digerakkan ke lokasi.
Pasukan penyelamat tiba pada jam 12.06 tengah hari di lokasi kejadian kira-kira 26 kilometer dari balai.
Selepas memastikan mangsa diberikan bantuan dan dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut, anggota bomba turut melakukan kerja pembersihan permukaan jalan bagi menjamin keselamatan pengguna lain.
Operasi berkenaan turut mendapat bantuan lima anggota polis, empat petugas KKM serta empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), sebelum ditamatkan pada jam 1.18 tengah hari.-DRP
