Editorial
KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh ke Sungai Sarawak di Jalan Datuk Abang Abdul Rahim berakhir selepas jasad mangsa ditemukan pada malam 23 November.
Mangsa, lelaki berbangsa Melayu berusia 34 tahun, ditemukan sekitar jam 8.45 malam di kawasan pencarian dengan bantuan orang awam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, pihak Balai Polis Padungan menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.25 pagi pada 23 November 2026.
Menurutnya, anggota polis yang tiba di lokasi mengesahkan lelaki berkenaan dipercayai terjatuh dari tebing sebuah wharf ke dalam Sungai Sarawak sebelum gagal dikesan.
Susulan laporan itu, operasi SAR dimulakan pada jam 8 pagi dengan kerjasama beberapa agensi, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Lembaga Sungai-Sungai, Pasukan Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak Coast Guard (UKPNS) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC).
Jasad mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.
Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) bagi tujuan siasatan.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Polis Balai Padungan, Insp Goh Chen Hong menerusi talian 014-9007007 atau tampil ke balai polis berhampiran.-DRP
