DARO: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan membabitkan kes pencerobohan kawasan rumah dan ugutan jenayah di Kampung Itol, di sini.
Hukuman itu dijatuhkan di Mahkamah Sarikei pada 24 November 2026 selepas tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Anak Mihos berkata, kes berkenaan berpunca daripada kejadian pada 19 November 2026 apabila suspek berusia 43 tahun dipercayai menceroboh kawasan rumah jirannya.
Menurutnya, pengadu berusia 29 tahun yang berada di rumah ketika kejadian ternampak suspek, yang merupakan jirannya, memasuki kawasan kediaman sambil memegang sebilah parang.
Suspek kemudian dikatakan mengamuk serta mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan jenayah terhadap pengadu.
Susulan kejadian itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Matu Daro berjaya menahan lelaki berkenaan untuk membantu siasatan.
Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut didapati positif dadah jenis amphetamine/methamphetamine.
Suspek sebelum itu dibenarkan menjalani reman selama empat hari, manakala kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Selepas mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan, tertuduh dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan bermula dari tarikh hukuman dan kini menjalani hukuman di Penjara Sibu.-DRP
