Editorial
KUALA LUMPUR: Seorang pemilik perniagaan dikenakan kompaun keseluruhan RM30,000 oleh Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIM WPKL) selepas didapati menggaji dua pekerja asing tanpa pas kerja yang sah.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kompaun sebanyak RM15,000 dikenakan bagi setiap pekerja asing yang digaji, menjadikan jumlah keseluruhan RM30,000.
Tindakan itu susulan operasi serbuan di sebuah restoran di pusat beli-belah NU Sentral, Jalan Tun Sambanthan, pada 22 September lalu.
Hasil pemeriksaan serta kertas siasatan yang dikendalikan Unit Siasatan JIM WPKL mendapati majikan terbabit melakukan kesalahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana menggaji dua warga asing tanpa pas kerja yang sah.
Sehubungan itu, JIM WPKL memberi amaran kepada semua majikan dan pemilik premis perniagaan supaya tidak mengambil jalan mudah dengan menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).
Jabatan itu turut menegaskan tindakan perundangan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang imigresen.-DRP
