Editorial
KUALA LUMPUR: Tindakan pantas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berjaya menahan dua lelaki tempatan disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah merentasi empat negeri, kurang sejam selepas satu kejadian dilaporkan berlaku di ibu negara pada 16 November lalu.
Penahanan kedua-dua suspek berusia 40 dan 44 tahun itu dilakukan Bahagian Risikan/Operasi (D4), JSJ Bukit Aman kira-kira jam 1 tengah hari ketika mereka menaiki sebuah kenderaan di kawasan Taman City, Kuala Lumpur.
Pengarah JSJ Polis Diraja Malaysia (PDRM), CP Datuk M. Kumar a/l S. Muthuvelu berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu dipercayai terbabit dalam kejadian pecah masuk sebuah rumah di Taman Rainbow, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, kira-kira jam 12 tengah hari pada hari sama.
Menurutnya, hasil risikan dan tindakan pantas pasukan operasi membawa kepada penahanan suspek dalam tempoh kurang sejam selepas kejadian berkenaan.
Polis turut merampas sebuah kereta Toyota Camry berwarna hitam yang menggunakan nombor pendaftaran palsu, selain pelbagai barangan dipercayai hasil curi dan peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah.
Antara barangan dirampas ialah telefon bimbit, tablet, jam tangan, komputer riba, satu set kamera litar tertutup (CCTV) Xiaomi, tiga set nombor pendaftaran kenderaan, wang tunai RM1,000, empat keping kad Touch ‘n Go, resit pembelian emas serta pelbagai jenis beg.
Turut dirampas kasut, pakaian, sarung tangan, pelitup muka dan peralatan pecah rumah termasuk pemutar skru, pemotong wayar, ragum, pelayar laras, spanar boleh laras, besi kuku kambing, pengikir, cutter, tiga tiub gam segera, serangkai anak kunci, Allen key serta bateri yang telah diubah suai.
Hasil semakan mendapati suspek pertama mempunyai 67 rekod lampau, merangkumi 62 rekod jenayah dan lima rekod dadah. Daripada rekod jenayah itu, 41 daripadanya berkaitan kes pecah rumah.
Suspek kedua pula mempunyai lima rekod lampau, terdiri daripada dua rekod jenayah dan tiga rekod dadah.
Ujian saringan air kencing terhadap suspek pertama turut didapati positif dadah jenis AMP/METH.
Datuk M. Kumar berkata, hasil tangkapan itu membolehkan polis menyelesaikan 15 kes pecah rumah dengan anggaran kerugian keseluruhan RM293,500 yang berlaku di Selangor, Perak, Pahang dan Kuala Lumpur.
Daripada jumlah itu, tujuh kes dilaporkan di Selangor, lima di Perak, dua di Pahang dan satu di Kuala Lumpur.
Siasatan turut mengenal pasti modus operandi kumpulan berkenaan yang menggunakan kenderaan dengan nombor pendaftaran palsu sebelum menyasarkan rumah teres tanpa kawalan keselamatan pada waktu siang.
Suspek dipercayai memasuki rumah melalui pintu hadapan dengan mengumpil pagar. Bagi kediaman yang menggunakan pagar automatik, mereka disyaki menggunakan bateri yang telah diubah suai untuk membukanya.
Polis turut mengenal pasti seorang lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan usaha mengesan serta menahan individu berkenaan sedang giat dijalankan.
Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 20 hingga 27 November 2026 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda. Jika kesalahan yang dimaksudkan ialah mencuri, tempoh penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun, manakala bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, pesalah juga boleh dikenakan denda atau sebatan.
Dalam pada itu, PDRM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan rumah dikunci dengan kunci tambahan, memasang CCTV bagi membantu siasatan serta menyimpan barang berharga di tempat selamat.
Orang awam yang melihat kenderaan atau individu mencurigakan di kawasan perumahan turut diminta segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis.-DRP
