Editorial
JOHOR BAHRU:Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya mematahkan dua cubaan penyeludupan rokok dan minyak diesel dalam operasi berasingan di perairan Pengerang dan Kukup, dengan nilai keseluruhan sitaan termasuk duti dan cukai mencecah RM28.606 juta.
Pengarah Kastam Negeri Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, operasi berkenaan membawa kepada rampasan sebanyak 29.916 juta batang rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam serta 569,000 liter minyak diesel yang disyaki belum lulus kastam.
Beliau mengetuai sidang media berhubung kejayaan operasi itu di Jeti Marin, Kompleks Penguatkuasaan Sungai Pulai, Gelang Patah, pada Selasa.
Turut hadir Timbalan Pengarah Kastam Negeri (Stesen Gelang Patah), Mastura Mohamed Saat dan Timbalan Pengarah Kastam Negeri (Penguatkuasaan), Mohd Nizam Abd Razak.
JKDM Johor dalam kenyataannya memaklumkan, kejayaan itu membuktikan peranan agensi berkenaan bukan sekadar memungut cukai dan duti, malah turut bertanggungjawab membanteras penyeludupan, melindungi hasil negara serta mengawal kemasukan barangan larangan.
Selain itu, operasi berkenaan turut memperlihatkan keberkesanan perkongsian maklumat dan kerjasama strategik antara JKDM dengan Direktorat Jenderal Bea Cukai (DJBC) Indonesia dalam memperkukuh kawalan serta penguatkuasaan di perairan negara.
Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan penyeludupan dan menyalurkan maklumat kepada pihak Kastam sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan.
Maklumat boleh disalurkan menerusi Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855, dengan identiti pemberi maklumat dijamin kerahsiaannya.- DRP
