Editorial
JOHOR BAHRU: Polis sedang mengesan pemilik atau pemandu sebuah Perodua Myvi yang dipercayai menjadi kenderaan pertama melanggar motosikal dalam kemalangan meragut nyawa seorang lelaki di Kilometer 12.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, malam tadi.
Mangsa, lelaki tempatan berusia 30 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dalam kemalangan kira-kira jam 9.50 malam, 23 November lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Azrol Anuar bin Nor berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal jenis Honda AFP110 dari arah Kulai menuju ke Johor Bahru.
Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal mangsa dilanggar sebuah Perodua Myvi sehingga menyebabkan penunggangnya terjatuh di atas jalan raya.
Mangsa kemudian dipercayai dilanggar dua lagi kenderaan yang datang dari arah belakang dan melalui lorong sama, masing-masing sebuah Proton Persona dipandu wanita tempatan berusia 37 tahun serta Mercedes-Benz C200 dipandu lelaki tempatan berusia 33 tahun.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Bagaimanapun, ketiga-tiga pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis kini giat mengesan pemilik atau pemandu Perodua Myvi berkenaan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Zulhisyam bin Aziz menerusi talian 019-743 2966.
Polis turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta tidak meninggalkan lokasi kemalangan tanpa membuat laporan seperti yang ditetapkan.-DRP
