NIBONG TEBAL: Kematian seorang lelaki yang mayatnya ditemukan di kawasan Kampung Baru, Jalan Byram, di sini, pada 23 November lalu disiasat sebagai kes bunuh selepas bedah siasat mengesahkan mangsa mengalami kecederaan akibat objek tumpul pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Seberang Jaya pada 24 November mengesahkan kecederaan tersebut sebagai punca kematian mangsa.
Menurutnya, identiti lelaki berkenaan masih belum dikenal pasti, manakala individu yang disyaki terbabit dalam kejadian itu juga belum dikesan.
Beliau berkata, pihak polis sedang meneruskan siasatan bagi mengenal pasti identiti mangsa, motif kejadian serta mengesan individu yang terlibat.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, ASP Mohd Rizal bin Abd Rashid menerusi talian 019-8282212 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau berkongsi kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan kes berkenaan.-DRP
