Editorial
PUTRAJAYA: Pertemuan antara Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bertujuan memperkukuh persefahaman dan hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Sarawak.
Saifuddin berkata, pertemuan yang berlangsung ketika kunjungan beliau ke Sarawak semalam itu membincangkan beberapa perkara berkepentingan bersama, termasuk isu keselamatan, politik, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, kedua-dua pihak bersetuju bahawa kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kebajikan rakyat perlu terus menjadi keutamaan.
Beliau turut menegaskan bahawa semangat saling menghormati, persefahaman dan kepercayaan perlu kekal menjadi asas hubungan antara Persekutuan dan Sarawak.
Dalam konteks politik negara, Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menghargai komitmen serta sokongan Sarawak terhadap usaha Kerajaan Persekutuan dalam memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pentadbiran negara.
Katanya, kerjasama dan persefahaman berkenaan amat penting bagi membolehkan kerajaan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan ekonomi, pelaksanaan reformasi serta kesejahteraan rakyat.- DRP
