KOTA KINABALU: Pengurusan kontrak memajak dan mengutip sarang burung di Gua Gomantong, Sandakan, dicadangkan ditambah baik menerusi tiga syor tatakelola yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.
Syor berkenaan bertujuan memperkemas amalan, sistem dan prosedur kerja jabatan dalam menguruskan kontrak terbabit, khususnya berkaitan proses penilaian harga tender.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah membentangkan ketiga-tiga syor itu di Ibu Pejabat JHL Sabah, di sini, semalam.
Menurut kenyataan SPRM Sabah, cadangan pertama ialah mewujudkan garis panduan jawatankuasa penilaian harga yang digunakan jabatan dalam proses penilaian tender, termasuk carta alir bagi setiap peringkat tugas jawatankuasa berkenaan.
Penambahbaikan kedua pula membabitkan pelantikan ahli jawatankuasa penilaian harga tender bagi memastikan skop dan tugasan setiap anggota diperincikan dengan lebih jelas.
Syor ketiga adalah menyediakan surat lantikan kepada ahli jawatankuasa berkenaan yang menerangkan peranan serta tanggungjawab masing-masing, termasuk tugasan yang perlu dilaksanakan.
Dalam perkembangan sama, JHL Sabah menyatakan sokongan terhadap ketiga-tiga syor berkenaan sebagai langkah memperkukuh tatakelola pengurusan kontrak kutipan sarang burung di Gua Gomantong.
Komitmen itu dizahirkan menerusi majlis menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara Pengarah JHL Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar dan Mohd Fuad.
Turut hadir Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sabah, Alexander S Kunghi; Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sabah, Hamsia Abdul Ham serta Timbalan Pengarah 2 JHL Sabah, Sailun Aris.-DRP
