OLEH: Shyang Lim
SIBU: Seorang wanita tempatan berusia 64 tahun maut selepas dirempuh sebuah bas ketika dipercayai melintas di hadapan kenderaan itu di Jalan Channel, berhampiran Pasar Sentral, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, mangsa yang merupakan penumpang bas berkenaan dikatakan baru turun dari kenderaan sebelum melintas di hadapannya.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin bin Abang Ahmad berkata, siasatan awal mendapati bas jenis Hino itu dipandu seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun dari arah Jalan Pulau melalui Jalan Channel menuju ke Jalan Bengkel.
Menurutnya, pemandu bas dipercayai tidak menyedari kehadiran mangsa sebelum meneruskan pergerakan lalu melanggar wanita berkenaan.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan paha kiri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira jam 10.15 pagi oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Sibu.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Rumah Mayat Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas berkenaan didapati negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Dalam pada itu, polis mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengutamakan keselamatan serta meningkatkan kewaspadaan ketika berada di jalan raya.-DRP
