TAWAU: Tindakan seorang lelaki menendang cermin sisi sebuah kereta sehingga pecah membawa kepada penahanannya oleh polis kurang 24 jam selepas kejadian di kawasan Perumahan Rakyat, Taman Bukit Tawau, hari ini.
Lelaki tempatan berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.40 pagi oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai ketika menjalankan operasi di kawasan perumahan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi bin Mat Jusoh berkata, penahanan itu dibuat hasil tindakan susulan terhadap dua laporan polis berhubung kejadian khianat yang membabitkan kereta milik seorang penduduk di kawasan berkenaan.
Menurutnya, kejadian pertama dilaporkan berlaku pada 10 November lalu, kira-kira jam 4 petang, selepas mangsa dimaklumkan jirannya bahawa kereta yang diletakkan di tempat letak kenderaan perumahan itu telah dirosakkan individu tidak dikenali.
Pemeriksaan mendapati beberapa bahagian kenderaan mengalami kerosakan, termasuk cermin sisi.
Kejadian kedua pula berlaku pada 25 November kira-kira jam 8.45 pagi apabila isteri mangsa yang sedang menjemur pakaian terlihat seorang lelaki yang dikenalinya menendang cermin sisi kanan kereta sama sehingga pecah.
“Mangsa turut menegur lelaki berkenaan, namun teguran itu tidak diendahkan sebelum individu terbabit beredar dari lokasi kejadian,” katanya.
Bertindak atas maklumat diterima, polis menjalankan operasi sebelum berjaya mengesan lelaki berkenaan di kawasan Perumahan Rakyat tersebut.
Hasil siasatan awal, suspek mengaku terbabit dalam kedua-dua kejadian berkenaan sebelum ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Rosdi menegaskan perbuatan merosakkan harta benda milik orang lain merupakan satu kesalahan jenayah dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang didapati terbabit.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya berdepan perselisihan faham, sebaliknya menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.-DRP
