KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 64 tahun mengalami kerugian sebanyak RM1,016,500 selepas diperdaya sindiket penipuan tender pembekalan barangan yang menggunakan nama Jabatan Premier Sarawak.
Mangsa dipercayai terjerat selepas menerima tawaran tender pembekalan kabinet, genset dan bateri melalui pesanan kerajaan daripada individu yang menyamar sebagai kakitangan jabatan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga anak Chabu berkata, kejadian bermula pada 3 November 2026, kira-kira jam 10 pagi, ketika mangsa berada di pejabat sebelum menerima panggilan menerusi aplikasi WhatsApp daripada suspek.
Menurutnya, suspek memperkenalkan diri sebagai kakitangan Jabatan Premier Sarawak dan menawarkan peluang kepada mangsa untuk membekalkan barangan berkenaan menerusi pesanan kerajaan.
Suspek kemudian menghubungkan mangsa dengan seorang individu lain yang diperkenalkan sebagai pembekal bagi urusan mendapatkan barangan tersebut.
Mangsa seterusnya diminta membuat sebanyak 13 transaksi pembayaran ke dalam tiga akaun bank berbeza sebelum barangan yang ditempah kononnya dihantar.
Bagaimanapun, mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas membuat semakan terus dengan pihak Jabatan Premier Sarawak dan mendapati tender pembekalan berkenaan sebenarnya tidak wujud.
Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan curang mendorong penyerahan harta.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan, dan juga boleh dikenakan denda.
Sehubungan itu, Alexson menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dan segera menamatkan panggilan sekiranya menerima komunikasi yang mencurigakan.
Orang ramai juga diingatkan supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada individu tidak dikenali, selain menghubungi balai polis berhampiran untuk membuat semakan atau laporan.
Mereka turut boleh menyemak nombor akaun dan telefon yang mencurigakan menerusi portal rasmi Semak Mule Polis Diraja Malaysia (PDRM) di https://semakmule.rmp.gov.my.
Sebarang aktiviti mencurigakan atau kes penipuan juga boleh dilaporkan kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997.
Orang ramai turut boleh menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak melalui talian 011-62890089 atau e-mel kjsjkswk@rmp.gov.my untuk menyalurkan maklumat.-DRP
