TAWAU: Usaha memperkukuh perkhidmatan dan perlindungan warga negara Indonesia (WNI) di Sabah menjadi fokus lawatan Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur bersama Atase Imigresen ke Tawau, semalam.
Lawatan itu bertujuan meninjau secara langsung pelaksanaan perkhidmatan di Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau, selain memastikan urusan pengesahan identiti dan pendataan tahanan warga Indonesia di Depot Imigresen Tawau berjalan lancar.
Ketua Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Dino Nurwahyudin berkata, lawatan berkenaan turut memberi ruang kepada delegasi KBRI Kuala Lumpur menilai pelaksanaan tugas dan fungsi konsulat, khususnya dalam memenuhi keperluan rakyat Indonesia di wilayah kerjanya.
Beliau berkata, tinjauan di pejabat konsulat merangkumi perkhidmatan keimigrasian dan kekonsuleran, termasuk interaksi bersama pemohon bagi melihat sendiri proses penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Selain itu, katanya, delegasi turut mengadakan dialog bersama pengurusan dan pegawai konsulat bagi membincangkan prestasi perkhidmatan, aspek perlindungan WNI serta keperluan memperkukuh koordinasi dengan pihak berkuasa tempatan.
Menurutnya, lawatan diteruskan ke Depot Imigresen Tawau bagi meninjau proses pengesahan identiti dan pendataan tahanan yang dipercayai warga Indonesia.
“Sejak minggu lalu, pasukan KRI Tawau melaksanakan proses pengesahan dan pendataan membabitkan 187 tahanan WNI di depot berkenaan.
“Individu yang sudah disahkan sebagai warga Indonesia akan diproses untuk dibawa pulang ke negara asal pada kesempatan pertama mengikut prosedur ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dino berkata, KRI Tawau komited meneruskan usaha mempertingkat mutu perkhidmatan, memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan serta memastikan hak dan kebajikan warga Indonesia di wilayah kerjanya terus diberikan perhatian.-DRP
