RAUB: Seorang peniaga durian mengalami kerugian sebanyak RM450,879.40 selepas dipercayai diperdaya sindiket penipuan pelaburan tidak wujud yang menggunakan aplikasi Telegram dan menawarkan pulangan lumayan menerusi pelaburan berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi membolehkan modal pelaburan yang disertai dikeluarkan.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd. Shahril bin Abd Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 24 November 2026, kira-kira jam 2.20 petang.
Menurutnya, mangsa mendakwa mula berkenalan dengan seorang individu menerusi aplikasi Telegram pada 30 Oktober lalu ketika berada di rumah sebelum dipelawa menyertai pelaburan berasaskan pusingan wang menggunakan aplikasi janaaan AI yang menjanjikan keuntungan lumayan.
“Mangsa kemudian diarahkan melayari laman web Qorixhub.com untuk memulakan pelaburan berkenaan.
“Bermula 4 November 2026, mangsa melakukan beberapa transaksi bagi tujuan pelaburan, pembayaran yuran, penambahan nilai pelaburan serta denda yang dikenakan atas alasan kelewatan membuat penambahan pelaburan,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, sehingga laporan polis dibuat, mangsa sudah melakukan sebanyak 22 transaksi melibatkan 12 akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan kerugian RM450,879.40.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat, khususnya apabila disertai desakan untuk membuat pembayaran dengan segera.
Orang ramai juga dinasihatkan menyemak latar belakang sesuatu pelaburan dan memastikan pihak atau skim pelaburan berkenaan mendapat pengesahan serta kebenaran pihak berkuasa berkaitan, termasuk Bank Negara Malaysia.
Selain itu, sebarang urusan pindahan wang yang mencurigakan boleh disemak melalui laman web Semak Mule di https://semakmule.rmp.gov.my dengan memasukkan nombor akaun, nombor telefon atau nama syarikat.
Mangsa penipuan turut dinasihatkan supaya segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997.-DRP
