PENAMPANG: Polis berjaya memberkas dua lelaki tempatan dalam tempoh kurang enam jam selepas disyaki terbabit dalam kes pembunuhan seorang lelaki berusia 24 tahun susulan pergaduhan di hadapan sebuah premis perniagaan di Putatan, semalam.
Kedua-dua suspek berusia 30 dan 45 tahun itu ditahan di Kampung Dumpil, Putatan, kira-kira jam 6.30 pagi tadi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dengan bantuan anggota Balai Polis Putatan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada awal pagi tadi, manakala kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula esok hingga 2 Disember bagi membantu siasatan.
Menurutnya, motif kejadian dan punca kematian mangsa masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan jika tidak dihukum mati, sekiranya sabit kesalahan.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Penampang atau balai polis berhampiran. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan. – DRP
