OLEH: NASRAWATI SYARIFUDDIN
TAWAU: Seorang buruh ladang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki 70.87 gram dadah jenis Methamphetamine atau syabu, tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos menjatuhkan hukuman itu terhadap Sita Ahmad, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 70.87 gram tanpa kebenaran di sebuah rumah kongsi, Ladang Benta Wawasan, di sini, jam 1.30 pagi, 25 Julai 2025.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan minimum 10 sebatan.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menyerbu rumah kongsi di ladang berkenaan sebelum menemukan tertuduh di dalam sebuah bilik.
Selepas anggota memperkenalkan diri sebagai polis, tertuduh cuba melarikan diri dan bertindak agresif, namun berjaya ditahan.
Tertuduh kemudian memandu arah pasukan serbuan ke bahagian dapur, tempat tiga paket plastik lutsinar berlainan saiz berisi ketulan hablur jernih ditemukan di dalam plastik biru yang diletakkan di dalam baldi merah berisi beras.
Hasil analisis kimia mengesahkan bahan yang dirampas mengandungi dadah jenis Methamphetamine.
Terdahulu, dalam rayuan mitigasi, peguam tertuduh, Jhasarry P. Kang, memohon hukuman diringankan dengan mengambil kira tanggungjawab tertuduh terhadap isteri dan tiga anaknya.
Beliau menyatakan tertuduh memahami keseriusan kesalahan itu dan akibat yang perlu ditanggung, namun hukuman penjara yang panjang turut memberi kesan besar kepada keluarganya, khususnya anak-anak yang masih memerlukan penjagaan serta sokongan seorang bapa.
Beliau turut menyatakan pengakuan bersalah tertuduh menjimatkan masa mahkamah dan mengelakkan perbicaraan yang panjang, termasuk menyesali keadaan yang membawa kepada penangkapan serta pendakwaannya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fillany Siji.-DRP
