MUKAH: Dua lelaki mengalami kecederaan selepas ditikam menggunakan senjata pisau dalam satu pergaduhan di kawasan sebuah kuarters lama jabatan kerajaan di sini, pada malam 23 November lalu.
Kejadian kira-kira jam 11 malam itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan mangsa ketika mereka sedang minum minuman keras.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal bin Alias berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 24 November 2026.
Menurutnya, seorang mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut selepas ditikam, manakala seorang lagi cedera di bahagian kiri belakang badan dan punggung kanan ketika cuba meleraikan pergaduhan.
Kedua-dua mangsa dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Mukah. Seorang daripada mereka dibenarkan pulang pada hari sama, manakala seorang lagi dirujuk ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.
Susulan siasatan, polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 42 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.
Polis turut merampas sebilah pisau serbaguna berukuran dua inci yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Ketiga-tiga suspek direman selama empat hari sehingga 29 November 2026 bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Muhamad Rizal menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan pergaduhan, khususnya ketika berada di bawah pengaruh alkohol.
Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Alexander Constontine menerusi talian 013-5073256 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.-DRP
