OLEH: NASRAWATI SYARIFUDDIN
TAWAU: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar 523.3 gram syabu, tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos menjatuhkan hukuman itu terhadap Jhon Daton Petrus, 56, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas selesai menjalani hukuman penjara dan tidak dikenakan sebatan atas faktor usia.
Terdahulu, pihak pendakwaan dijadualkan memanggil saksi kelima yang juga saksi terakhir dalam perbicaraan kes itu yang bermula Isnin lalu, namun Jhon menukar pengakuannya kepada bersalah.
Mengikut pertuduhan, Jhon didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 523.3 gram di kawasan kebun kelapa sawit, Onika Quarry, Jalan Air Panas Tiku, jam 2.30 petang, 26 Februari 2025.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum dengan tidak kurang 12 kali sebatan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan sepasukan polis di kawasan berkenaan dan pemeriksaan menemukan dua paket plastik mengandungi bahan hablur disyaki dadah di dalam sebuah beg plastik tertera tulisan ‘MARVEL’ yang kemudian dirampas.
Analisis Jabatan Kimia mengesahkan bahan berkenaan ialah Methamphetamine atau syabu seberat 523.3 gram.
Peguam Jhasarry P. Kang yang mewakili Jhon memohon mahkamah mempertimbangkan latar belakang anak guamnya yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah.
Katanya, tertuduh sudah bercerai dan mempunyai dua anak serta menetap dan bekerja di Sabah sejak 1983 sebagai buruh kasar di ladang kelapa sawit dan sektor pembinaan dengan pendapatan RM1,800 sebulan.
Pihak pembelaan turut menyatakan pengakuan bersalah tertuduh menjimatkan masa mahkamah serta mengelakkan keperluan memanggil saksi terakhir untuk memberi keterangan.
Sehubungan itu, Jhasarry memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan tidak dikenakan hukuman mati serta sebatan atas faktor usia.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fillanny Siji yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan mengambil kira keseriusan kes dan jumlah dadah yang terlibat.-DRP
