KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah kekal dengan pendirian menetapkan had umur belia sehingga 40 tahun bagi memastikan golongan berkenaan, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman, tidak tercicir daripada peluang pembangunan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, keputusan Kabinet Negeri itu dibuat dengan mengambil kira realiti geografi dan sosioekonomi Sabah.
Menurutnya, golongan berusia 31 hingga 40 tahun masih memerlukan akses kepada latihan kemahiran, peluang pekerjaan serta pelbagai program pembangunan.
Katanya, golongan dalam lingkungan umur itu juga mempunyai pengalaman dan keupayaan untuk terus menyumbang kepada komuniti masing-masing.
“Sabah konsisten dengan pendirian ini kerana kita mengambil kira keperluan sebenar belia, khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang IV, Penggal Ke-35, Sesi 2025–2026 di Putrajaya, semalam.
Nizam berkata, pendirian berkenaan akan diterjemahkan menerusi cadangan Enakmen Pembangunan Belia Sabah yang sedang dirangka untuk dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Katanya, enakmen itu turut bertujuan memperkukuh pengurusan pertubuhan belia selain menyediakan kerangka lebih tersusun bagi pembangunan golongan berkenaan.
Dalam perkembangan lain, isu tambang penerbangan mahal bagi laluan Sabah dan Sarawak ke Semenanjung Malaysia turut dibangkitkan pada persidangan berkenaan.
Nizam berkata, cadangan memperkenalkan kadar tambang khas untuk belia adalah antara lima usul yang dikemukakan pada persidangan MPBN peringkat Sabah.
Menurutnya, harga tiket penerbangan yang tinggi boleh membataskan peluang anak muda untuk mengikuti pengajian, latihan, program pembangunan atau menghadiri urusan rasmi di luar negeri.
“Usul ini sudah dipertimbangkan dengan teliti dan kementerian akan membuat susulan dengan pihak berkaitan di peringkat Persekutuan untuk meneliti langkah praktikal mengurangkan beban tambang, termasuk cadangan kadar khas untuk belia,” katanya.
Beliau berkata, persidangan itu turut membincangkan isu keselamatan digital, kemudahan penjagaan anak untuk keluarga muda serta cadangan mewujudkan hab pembangunan belia di setiap daerah.
Katanya, perancangan hab berkenaan di Sabah perlu mengambil kira faktor jarak perjalanan dan keperluan setempat supaya kemudahan disediakan dapat dimanfaatkan belia di bandar, luar bandar serta pedalaman.-DRP
