SANDAKAN: Kekurangan bekalan simen yang berlarutan sejak dua hingga tiga bulan lalu menyebabkan industri pembinaan di Sandakan mengalami kelembapan serius, sekali gus menjejaskan pelaksanaan projek pembangunan dan aktiviti ekonomi setempat.
Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Chong Thien Ming berkata, keadaan itu berisiko mencetuskan kesan lebih besar sekiranya tiada langkah segera diambil bagi memastikan bekalan bahan binaan berkenaan kembali stabil.
Menurutnya, kelewatan menyiapkan projek boleh menyebabkan pekerja diberhentikan atau diarahkan menghentikan kerja buat sementara waktu, selain mendedahkan kontraktor kepada penalti kewangan dan tuntutan pampasan seperti yang ditetapkan dalam perjanjian kontrak.
Beliau menjelaskan, pusat pengedaran simen bagi kawasan Pantai Timur terletak di Lahad Datu. Bagaimanapun, pusat berkenaan dilaporkan kehabisan stok sejak minggu lalu, menyebabkan pembekal diarahkan mengambil bekalan secara terus dari kilang Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd di Kota Kinabalu.
Situasi itu menimbulkan persoalan sama ada kilang di Kota Kinabalu yang bertanggungjawab membekalkan simen ke kawasan Pantai Barat dan berdepan kekangan bekalan ketika ini mampu menampung permintaan tambahan dari Pantai Timur.
“Bagaimana kilang di Kota Kinabalu mampu memenuhi permintaan sedia ada di Pantai Barat, pada masa sama membekalkan simen ke kawasan Pantai Timur?” katanya.
Sehubungan itu, Chong menggesa Kerajaan Sabah dan kementerian berkaitan segera meneliti sumber bekalan alternatif, termasuk mempertimbangkan kuota import sementara bagi simen berkualiti dari Semenanjung Malaysia atau negara lain, tertakluk kepada keperluan kualiti dan peraturan ditetapkan.
Katanya, penyelesaian jangka pendek perlu dilaksanakan segera dan industri pembinaan tidak boleh dibiarkan terus terjejas sementara menunggu rancangan pengembangan kapasiti pengeluaran dalam tempoh lebih panjang.
Beliau turut memberi amaran bahawa kekurangan simen bukan sahaja memberi kesan kepada kontraktor dan pemaju, malah mencetuskan rantaian kesan terhadap syarikat pengangkutan, pembekal bahan binaan, pekerja, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan sokongan lain.
Apabila aktiviti pembinaan merosot, syarikat pengangkutan kehilangan sumber pendapatan, jualan pembekal bahan binaan menurun, manakala pekerja berdepan risiko kehilangan pendapatan dan PKS turut mengalami tekanan kewangan.
Chong difahamkan Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd dijangka memperluaskan barisan pengeluaran di kilang Kota Kinabalu pada tahun depan.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan perancangan khusus bagi memperkukuh kapasiti pengeluaran dan pengedaran simen di Lahad Datu untuk memenuhi keperluan kawasan Pantai Timur, khususnya Sandakan.
Menurutnya, peningkatan pengeluaran di Kota Kinabalu mungkin membantu menambah kapasiti bekalan keseluruhan, namun cabaran pengedaran dan jaminan bekalan jangka panjang bagi kawasan Pantai Timur juga perlu diberi perhatian.
Dalam masa sama, beliau membangkitkan beberapa isu infrastruktur dan utiliti yang masih dihadapi Sandakan, termasuk gangguan bekalan air akibat paip pecah yang kerap berlaku, keadaan jalan raya yang kurang memuaskan, masalah saluran paip kumbahan tersumbat di beberapa kawasan perumahan serta isu operasi berterusan di Pelabuhan Sandakan.
Ketidaktentuan mengenai kebolehpercayaan bekalan elektrik turut disenaraikan sebagai antara cabaran yang perlu ditangani, selain masalah kekurangan bekalan simen ketika ini.
Chong berkata, masalah berkenaan saling berkait dan boleh menjejaskan keyakinan pelabur sekiranya kemudahan asas, utiliti serta bekalan bahan binaan penting terus tidak menentu.
Keadaan itu dikhuatiri menyebabkan pelabur mempertimbangkan semula rancangan untuk membuka perniagaan, kilang atau melaksanakan projek pembangunan baharu di Sandakan.
Beliau menegaskan bandar itu memerlukan pendekatan lebih terselaras daripada kementerian dan agensi kerajaan berkaitan bagi menyelesaikan masalah berlarutan, bukannya membiarkan satu isu timbul selepas isu lain gagal ditangani.
Tambahnya, persediaan menjelang program Tahun Melawat Sabah tahun depan juga perlu mengambil kira keperluan memperkukuh infrastruktur dan persekitaran perniagaan, khususnya di Sandakan yang terkenal dengan sejarah, tarikan alam semula jadi serta kepelbagaian makanan.
Justeru, beliau berharap menteri dan jabatan kerajaan berkaitan dapat mengadakan lawatan kerja ke Sandakan bagi melihat sendiri cabaran yang dihadapi komuniti perniagaan, industri pembinaan dan penduduk setempat.
“Sandakan mempunyai potensi untuk berkembang, tetapi potensi sahaja tidak mencukupi. Kita memerlukan infrastruktur yang boleh diharapkan, bekalan bahan binaan penting yang konsisten serta campur tangan kerajaan yang berkesan.
“Kerajaan perlu bertindak segera menangani kekurangan bekalan simen dan cabaran infrastruktur yang lebih menyeluruh. Kita tidak boleh membiarkan masalah ini terus menjejaskan keyakinan perniagaan, peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi Sandakan,” katanya.-DRP
