LAHORE: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan pihak berkuasa Pakistan selepas disyaki merancang serangan menggunakan bahan letupan terhadap sebuah institusi pendidikan kerajaan di Lahore, dengan mendapatkan maklumat menerusi chatbot kecerdasan buatan (AI), Claude.
Remaja yang juga pelajar tahun pertama di sebuah kolej tempatan itu ditahan di kediamannya di kawasan Bedian Road, Lahore, pada Isnin.
Menurut laporan media antarabangsa, tindakan penahanan itu dilakukan Agensi Siasatan Jenayah Siber Kebangsaan Pakistan (NCCIA) susulan maklumat yang diterima daripada Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) dan pembangun platform Claude, syarikat Anthropic.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan chatbot berkenaan untuk mendapatkan maklumat berkaitan penyediaan alat letupan serta membincangkan kemungkinan melancarkan serangan terhadap sebuah institusi pendidikan kerajaan.
Pengarah Tambahan NCCIA Lahore, Atif Ameer, berkata pihaknya mengambil tindakan selepas menerima maklumat mengenai perbualan mencurigakan suspek dengan platform AI berkenaan.
Dalam operasi di kediaman suspek, pihak berkuasa tidak menemui sebarang bahan letupan, bahan kimia, senjata atau peralatan yang boleh digunakan untuk melaksanakan serangan seperti didakwa.
Bagaimanapun, beberapa peranti elektronik dirampas bagi membantu siasatan, termasuk meneliti rekod perbualan digital dan aktiviti dalam talian suspek.
Kes berkenaan disiasat mengikut peruntukan berkaitan Akta Pencegahan Jenayah Elektronik Pakistan 2016 (PECA) serta Kanun Keseksaan negara itu.
Sementara itu, pihak penyiasat turut menjalankan penilaian psikologi bagi mengenal pasti motif di sebalik dakwaan perancangan serangan berkenaan.
Setakat ini, motif sebenar suspek masih belum dikenal pasti dan pihak berkuasa belum mengesahkan sama ada perancangan itu sudah melangkaui perbincangan dalam talian.
Kes itu turut mencetuskan perhatian terhadap risiko penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan untuk tujuan jenayah serta peranan platform digital dalam mengesan dan melaporkan aktiviti yang berpotensi mengancam keselamatan awam.- India Times
Sumber: The Indian Express / Dawn
