KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal dan Ketua Wira Warisan Pusat, Khairudin Daud digesa tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan penglibatan murid sekolah dalam himpunan di hadapan bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Aktivis dan Penganalisis Politik Bebas, Atan Leecas dalam satu kenyataan media berkata, beliau mengecam sekeras-kerasnya sebarang tindakan melibatkan murid sekolah bagi memberi tekanan politik.
Menurutnya, gambar himpunan yang tular menunjukkan kanak-kanak berpakaian seragam sekolah berada di lokasi sambil memegang sepanduk, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pihak yang mengatur kehadiran mereka.
Beliau mempersoalkan penglibatan murid sekolah rendah dalam himpunan berkenaan sekiranya tuntutan yang dibawa adalah berkaitan penangguhan tindakan demi memberi ruang kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Atan berkata, Shafie perlu menjelaskan sama ada kepimpinan Warisan mengetahui perancangan himpunan itu, termasuk kemungkinan penglibatan mana-mana sayap parti serta pendirian parti terhadap kehadiran murid sekolah.
Beliau turut meminta Khairudin menjelaskan peranan Wira Warisan dalam himpunan berkenaan, termasuk sama ada terdapat wakil parti yang menghubungi keluarga murid, mengatur kehadiran mereka atau meminta mereka memegang sepanduk.
“Siapa yang membawa mereka dan atas arahan siapa ialah persoalan yang mesti dijawab oleh pihak yang terlibat.
“Jika ada pemimpin Warisan yang mengatur kehadiran murid untuk menguatkan tekanan politik terhadap DBKK, tindakan itu politik murahan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, Atan menggesa pihak berkuasa menyemak sama ada Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) terpakai dalam keadaan berkenaan.
Beliau merujuk Seksyen 4(2)(f) akta tersebut yang memperuntukkan kesalahan berkaitan perbuatan merekrut, membawa atau membenarkan kanak-kanak menghadiri perhimpunan di luar pengecualian yang ditetapkan dalam Jadual Kedua.
Katanya, pihak berkuasa perlu meneliti umur peserta, peranan penganjur dan keadaan sebenar sebelum sebarang penentuan dibuat.
Mengulas lanjut, beliau berkata Warisan sepatutnya mengemukakan permohonan rasmi kepada DBKK sekiranya mahu memperjuangkan penangguhan tindakan atas alasan kebajikan calon SPM.
“Pemimpin yang membawa tuntutan itu sendiri patut tampil di hadapan DBKK, berunding dan bertanggungjawab atas tindakan mereka,” katanya.
Atan sekali lagi menggesa Shafie dan Khairudin tampil memberikan penjelasan mengenai pihak yang mengatur kehadiran murid sekolah serta peranan sebenar Warisan dalam himpunan berkenaan.
Beliau menegaskan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak perlu diutamakan dan tidak seharusnya dijadikan alat dalam sebarang perjuangan politik.- DRP
