Oleh : Salam Undong
TAWAU – Sebanyak RM50,000 berjaya dikumpulkan menerusi peluncuran Bulan Infak YAPEIM 2026 bagi membantu golongan memerlukan melalui pelbagai inisiatif kebajikan merangkumi bantuan bank makanan, pendidikan dan keusahawanan.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, YB Datuk Rina Hj. Jainal, berkata dana berkenaan akan disalurkan kepada penerima yang dikenal pasti layak dan memerlukan bantuan.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 10 sekolah serta kanak-kanak dalam kalangan asnaf telah dikenal pasti sebagai penerima manfaat menerusi program berkenaan.
Beliau berkata, kejayaan mengumpulkan sumbangan itu mencerminkan kerjasama baik antara agensi berkaitan, penyumbang dan pihak yang terlibat dalam memastikan bantuan dapat disampaikan kepada golongan sasaran.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Pustakan Tawau yang menyediakan fasiliti untuk majlis ini, serta semua penginfak yang telah menyumbang sehingga bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang berkelayakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Infak YAPEIM 2026.
Mengulas kepentingan inisiatif berkenaan, Rina berkata amalan infak dan sedekah merupakan antara tuntutan yang digalakkan dalam Islam, selain menjadi platform untuk masyarakat bersama-sama membantu golongan yang memerlukan.
Katanya, usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan berinfak tidak seharusnya terhad kepada sumbangan individu semata-mata, sebaliknya perlu turut melibatkan syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.
Menurutnya, tanggungjawab membantu masyarakat tidak boleh disandarkan sepenuhnya kepada kerajaan kerana semua pihak mempunyai peranan dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.
Beliau turut menggalakkan lebih banyak pihak tampil memberikan sumbangan dan memainkan peranan masing-masing bagi memperluas manfaat program kebajikan kepada golongan yang memerlukan.
“Sebagai orang Islam, kita digalakkan untuk bersedekah dan ia merupakan salah satu ibadah yang sangat dituntut.
“Saya berharap bukan sahaja individu, malah syarikat, badan bukan kerajaan dan pihak swasta turut memainkan peranan memberikan sumbangan lebih besar demi membantu masyarakat.
“Kita tidak seharusnya menyandarkan bantuan kebajikan semata-mata kepada kerajaan, sebaliknya setiap pihak perlu mengambil tanggungjawab membantu komuniti sendiri,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya bersama-sama menyokong kempen berkenaan dengan mengamalkan budaya berinfak demi meringankan beban golongan kurang berkemampuan.
“Berinfaklah beramai-ramai. Jom kita berinfak,” katanya. – DRP
