Oleh NASRAWATI SYARIFUDDIN
TAWAU: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis MDMA atau ekstasi seberat 18.85 kilogram (kg) di Jalan Kalabakan-Nabawan, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Khairul Nizam Bedu Herman, 28, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah jenis MDMA seberat 18.848 kg berkenaan di RCP Kalabakan, Jalan Kalabakan-Nabawan, di sini, jam 3.30 pagi, 17 November lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan, jika tidak dihukum mati.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Jeffery Kadison manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 21 Disember depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Terdahulu, polis berjaya menahan tertuduh yang menaiki kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna hitam di lokasi berkenaan.
Hasil pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan, pihak polis menemukan kotak yang di dalamnya mengandungi 1,900 paket kartrij vape berisi cecair disyaki dadah jenis MDMA dianggarkan seberat 18.848 kg. – DRP
