KUALA LUMPUR: Tiga tan syabu bernilai RM156 juta dipercayai diseludup keluar menerusi dua kemudahan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sabah sejak Ogos 2024.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kegiatan itu membabitkan 21 transaksi, dengan tujuh daripadanya dikesan di Tawau, manakala 14 lagi dari Labuan.
“Sebanyak tujuh transaksi dengan syabu seberat 1.8 tan, membabitkan nilai RM93 juta, diseludup keluar dari Tawau.
“Di Labuan pula, sebanyak 14 transaksi sudah berlaku sejak Ogos 2024, membabitkan syabu seberat 1.2 tan dengan nilai RM63 juta,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang meminta perincian hasil risikan serta perkembangan dakwaan kegiatan sindiket penyeludupan dadah itu sudah berlangsung sejak sekian lama.
Bekalan 15 juta individu
Saifuddin Nasution berkata, jumlah syabu berkenaan dianggarkan mampu membekalkan dadah kepada 15 juta individu jika diambil pada kadar 0.02 gram (g) bagi setiap penggunaan.
Katanya, jumlah itu juga mampu menampung bekalan kepada enam juta individu jika pengambilannya mengikut kadar 0.05g sekali guna yang dipercayai untuk mendapatkan kesan lebih kuat.
“Bayangkan kalau kita tidak lumpuhkan kegiatan ini, mangsanya mencecah jutaan orang.
“Saya menghargai kecekapan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membanteras sindiket ini,” katanya.
Identiti ketua sindiket sudah dikenal pasti
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, identiti ketua sindiket yang masih bebas sudah dikenal pasti, selain kegiatan itu turut membabitkan beberapa individu termasuk mereka yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat.
Katanya, sebahagian anggota sindiket sudah ditahan, manakala bakinya dijangka diberkas dalam tempoh terdekat.
“Sindiket ini sebenarnya sangat menguntungkan kerana satu kilogram syabu bernilai RM50,000 bagi pasaran domestik, manakala RM250,000 jika dijual di Indonesia dan RM450,000 untuk pasaran antarabangsa.
“Justeru, kita dapati ada potensi membongkar sindiket jenayah terancang lebih luas apabila siasatan dibuka dan saya beri jaminan siapa pun ditahan dalam tempoh terdekat tidak akan terlepas, apa-apa pun jawatan dan kedudukannya.
“Kita juga akan kenal pasti peranan 13 tahanan, masing-masing tujuh anggota TUDM dan enam orang awam, selain membuka skop siasatan seluas yang mungkin. Hasil siasatan awal juga mendapati sindiket ini sudah lama bertapak.
“Sebahagian ahli sindiket sudah ditangkap, dituduh dan dipenjara, manakala sebahagian lagi masih bebas dan kita akan memperluas skop siasatan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran).
Pembabitan individu ada akses dengan anggota
Menjawab soalan asal, Saifuddin Nasution berkata, siasatan awal mengenal pasti pembabitan individu yang mempunyai akses dan hubungan dengan anggota serta operasi penerbangan tentera, dipercayai membuka ruang kepada sindiket menggunakan kemudahan TUDM untuk kegiatan penyeludupan dadah.
Katanya, siasatan ketika ini dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, selain tidak menolak kemungkinan skop siasatan diperluaskan dengan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Hala tuju (siasatan) mahu pergi kepada jenayah terancang dan sebagainya, kita akan guna semua sekali. Bahkan SOSMA sekalipun, kita akan gunakan.
“Kita luaskan siasatan untuk kenal pasti pembabitan seluruh organisasi ini dan peranan setiap individu. Siapa pembiaya, perancang dan yang berperanan sebagai ‘transporter’, ‘runner’ serta semuanya,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
