KUCHING: Seramai 152 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam Operasi MAHIR dan Operasi KUTIP yang dijalankan di sekitar Kuching dan Kota Samarahan, semalam.
Penahanan itu dilakukan selepas pihak imigresen memeriksa 174 warga asing menerusi operasi yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 7 malam.
Menurut hantaran Facebook rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak, operasi berkenaan melibatkan pemeriksaan di empat lokasi tumpuan, termasuk tapak pembinaan, kawasan perindustrian serta premis berkaitan.
Kesemua 152 individu yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Antara kesalahan dikenal pasti ialah mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 11(7)(a), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Operasi berkenaan dilaksanakan susulan aduan orang awam serta risikan yang dijalankan oleh JIM Kuching bagi mengesan ketidakpatuhan undang-undang imigresen, khususnya membabitkan warga asing yang bekerja dan berada di premis terbabit.
JIM Sarawak menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi memastikan undang-undang imigresen negara dipatuhi.
Orang ramai turut diseru supaya menyalurkan maklumat kepada pihak jabatan sekiranya mengetahui sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang imigresen untuk tindakan lanjut.-DRP
